PENYAKIT BIPOLAR

APA ITU BIPOLAR?

KESIHATAN MENTAL

3/26/20253 min read

Apakah itu “Bipolar Mood Disorder”?

Pengenalan

Kecelaruan emosi dwi-kutub atau lebih dikenali dengan terminologi Inggerisnya Bipolar Mood Disorder adalah penyakit psikiatri yang kerap berlaku. Lebih kurang 0.5% ke 5% menghidap penyakit ini di dalam masyarakat umum. Penyakit ini secara kasarnya boleh dikatakan mempunyai dua polar atau kutub emosi yang ekstrim; terlalu tinggi, kegembiraan melampau (mania) dan terlalu rendah (depression).

Perasaan gembira dan sedih adalah kurniaan Allah sebagaimana emosi yang lain-lain seperti cemas, bimbang, takut, lega dan sebagianya. Perasaann gembira dan sedih diperlukan dalam kehidupan manusia. Anda sedih pada hari ini kerana suami anda menegur anda dengan nada yang keras, atau majikan anda memberi bebanan kerja yang anda rasa melampau atau anak anda dikenakan tindakan dispilin oleh pihak sekolah. Kemudian keesokkan harinya anda gembira kerana suami anda membuat kejutan dengan memberi hadiah yang sweet/nice kepada anda. Situasi ini berlaku kepada semua manusia normal. Ini bukan “Bipolar Mood Disorder”.

Simtom-simtom

Mania, atau kutub emosi yang terlalu tinggi membuatkan individu itu berperasaan terlalu gembira atau terlalu mudah tersinggung dan marah. Mania bukan sekadar itu sahaja. Ia perlu disertakan dengan beberapa simtom dan syarat-syarat yang lain

1. Self esteem, peningkatan jati diri yang melampau

2. Grandiose, kepercayaan bahawa dirinya adalah insan terpilih yang memiliki keistimewaan lebih dari manusia yang lain, kepercayaaan tidak realistic tentang kebolehan diri sendiri

3. Reduce need for sleep

4. Talkative; bicara yang sangat pantas

5. Flight of ideas; lonjakan dari satu idea ke satu idea yang sukar dituruti oleh si pendengar

6. Distractibily

7. Increased goal-directed activity or psychomotor agitation, terlalu banyak aktiviti-aktiviti yang dirancang

8. Terlibat dalam aktiviti yang menyeronokkan tetapi merbahaya seperti; aktiviti seks rambang kerana nafus menignkat, melabur atau berbelanja besar walaupun kesempitan wang,

Simtom-simtom ini berpanjangan, sekurang-kurangnya selama seminggu

Mengganggu kefungsian hariannya; jikalau individu itu seorang pelajar, beliau tidak boleh memenuhi peranan sebagai pelajar seperti menyiapkan kertas kerja, hadir di kelas, memberi tumpuan di dalam pengajaran dll. Jikalau pesakit seorang pekerja, tanggungjawab kerjanya diabaikan. Sebagai ketua keluarga pula, beliau mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah atau berubah tingkah laku kepada sentiasa pemarah dan mudah tersinggung.

Mengganggu perhubungan sosialnya; seperti mengganggu ketenteraman orang di sekelilingnya, bersikap agresif dan priovokatif

Bukan mudah untuk memberi diagnosis penyakit mental. Akan tetapi begitu mudah penyakit mental dibiarkan oleh ahli keluarga dan masyarakat atas sebab mungkin kerana malu- tidak sanggup menerima diagnosis atau label penaykit mental yang dianggap hina. Masyarakat kita sering berselindung di sebalik penjelasan bahawa semua ini adalah akibat perbuatan jin, syaitan atau angkara sihir buatan manusia lain yang berdengki. Maka rawatan perubatan (psikiatri) dianggap tidak berupaya menyelesaikannya.

Ini adalah contoh-contoh bagaimana penyakit bipolar terserlah:

Seorang lelaki pertengahan umur, timbul idea untuk membantu orang miskin, sibuk merancang untuk membina pusat waqaf, sedangkan beliau sendiri tidak mempunyai kewangan yang kukuh, beliau cuba membuat pinjaman bank dan bercakap tentang rancangan tersebut kepada semua orang. Dalam masa yang sama beliau mengabaikan nafkah keluarga sehinggakan lupa untuk beli susu anak

Seorang remaja gagal dalam SPM, murung buat seketika dan beberapa minggu kemudian secara tiba-tiba meluahkan hasratnya kepada ibu-bapa untuk ‘menakluki’ Gunung Everest. Pada mulanya keluarga tidak syak apa-apa. Tetapi selepas melihat beliau terlalu obsess dengan perkara ini dengan cara bercakap pada semua orang dan menghabiskan masa melayari internet. Akan tetapi tidak pula beliau membuat persediaan secara rasional, seperti berlatih meningkatkna daya stamina. Pada satu hari beliau terus membeli tiket penerbangan ke Nepal.

Seperti kebanyakan penyakit mental, bipolar mood disorder bersifat kronik dan berpunca dari pelbagai faktor. Begitu juga rawatannya memerlukan pelbagai unsur dan komponen yang digabung-jalin secara holistik (biological-psikologikal-sosial dan spiritual).

Rawatan biologiikal yang utama untuk penyakit bipolar adalah ubat Mood Stabilizer. Ubat yang terdiri dari pelbagai kategori ini telah terbukti mampu mengawal ketidakstabilan mood/emosi dalam penyakit bipolar ini. Perlu diingatkan ketidakstabilan mood yang dimaksudkan di sini bukan mood swing yang kebanyakan orang alami saban hari. COntoh-contoh mood stabilizer adalah Lithium, Sodium valproate, Lamotrigine, Carbamazepine, Quetiapine, Olanzapine, Aripiprazole dan pelbagai lagi. Ubat ini hanya boleh diberikan oleh doktor perubatan bertauliah yang mendapat latihan secukupnya di dalam bidang psikiatri.

Komplikasi

Jika tidak dikawal, penyakit bipolar boleh membawa pelbagai komplikasi yang bukan sahaja membahayakan individu tersebut tetapi boleh juga meporak-perandakan kehidupan sosialnya dan kefungsiannya secara keseluruhan.

RIsiko ingin membunuh diri adalah 20-30 kali lebih tinggi dari masyarakat umum (Pompili et al 2013). Pengambilan dadah terlarang dan alcohol juga meningkat. Isu-isu social seperti pengangguran dan keganasan adalah perkara yang lazim dilihat pada pesakit bipolar yang tidak mendapat rawatan. Pesakit bipolar yang tidak dirawat secara optimum berkecenderungan untuk bertindak agresif berbanding masyarakat umum. Sebagaimana kecenderungan untuk mengambil dadah atau untuk membunuh diri, sikap mudah agresif ini berpunca dari sifat impulsif yang sering ada pada pesakit bipolar (Perroud et al 2011).

Seterusnya bsepertimana penyakit mental yang lain, jika rawatan tidak diberikan penyakit ini akan membawa bebanan pada ahli keluarga secara fizikal dan mental. Kesan jangka panjang adalah bebanan sosial kepada komuniti setempat dan produktiviti negara.

Dr Zul Azlin Razali

Pakar Psikiatri

Klinik Pakar Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), 06-8504921

https://nna.onpay.my/