
Penyakit Mental
Bipolar Jenis 2
KESIHATAN MENTAL
6/22/20244 min read


Penyakit Bipolar ataupun Bipolar disorder merupakan masalah mental yang mempunyai karakter mood yang sentiasa bertukar di antara kemurungan dan mania.
Murung orang dah faham. Macamana pula dengan mania?
Mania adalah lawan kepada rasa murung. Seseorang yang mempunyai mania dikatakan akan mempunyai kegembiraan yang berlebihan, hyperaktif, kurang rasa untuk tidur, pemikiran yang bertukar-tukar dengan terlalu laju yang menyebabkan ia bercakap dengan banyak.
Seseorang yanag mengalami kemurungan pula akan mempunyai rasa sedih yang terlampau, tidak aktif, asyik nak tidur je, tidak seronok melakukan perkara yang dia minat dan rasa tiada harapan.
Bipolar penyakit mood yang bertukar-tukar diantara mania dan kemurungan
Sebab itu penyakit ini diberi nama Bipolar. Polar bermaksud kutub. Bipolar bermaksud mempunyai dua kutub. 2 Kutub dalam penyakit ini dimaksudkan perasaan mania dan juga kemurungan.
Kitaran mood bipolar boleh menjadi laju. Dimana dalam satu minggu yang sama, mood pesakit bipolar boleh bertukar diantara murung dan mania. Tetapi kebanyakan daripada pesakit bipolar adalah jenis yang lambat kitarannya. Bermaksud pesakit tersebut akan mengalami keadaan mania yang berminggu ataupun berbulan lamanya sebelum bertukar kepada keadaan murung ataupun sebaliknya
Jenis-Jenis Penyakit Bipolar
Terdapat dua jenis penyakit bipolar iaitu:
Bipolar jenis 1
Untuk penyakit Bipolar jenis ini, pesakit akan mengalami episod mania yang penuh dan juga kemurungan. Selalunya episode mania tersebut akan berterusan setiap hari lebih daripada seminggu.
Bipolar Jenis 2
Dalam bipolar jenis ini pula, pesakit akan mengalami simptom hipomania jika nak dibandingkan dengan mania. Hipo bermaksud sedikit. Hipomania bermaksud mempunyai sedikit simptom mania. Pesakit akan mempunyai simptom-simptom seperti kegembiraan, kurang tidur, asyik nak bercakap, karakter yang tidak penyabar, suka pergi bershopping dan sebagainya. Tetapi ia hanya berlaku lebih kurang 4 hari berbanding bipolar jenis 1 yang lebih daripada seminggu
Dalam keadaan ini, selalunya ahli keluarga merasakan pesakit tersebut masih normal kerana keadaan ‘mania’nya tidak seteruk bipolar jenis 1
Simptom-simptom Penyakit Bipolar
Simptom Bipolar ketika fasa mania
Mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Sebagai contoh asyik bercakap di dalam instagram dengan kekerapan yang tinggi walaupun ia bercakap sesuatu yang tiada ada makna.
Terlebih aktif
Kurang tidur dengan ketara
Kurang selera makan dan kurang berat badan
Bercakap dengan lajunya. Dalam hal ini, pesakit akan bercakap satu topik kemudian pergi ke topik yang lain tanpa menghabiskan topik yang sebelum ini. Ini kerana idea di dalam kepalanya masuk dengan terlampau banyak. Begitu juga dalam penulisannya.
Idea yang terlampau banyak
Tidak dapat fokus
Suka melakukan aktiviti yang banyak dan berlebihan sehingga boleh mencederakan diri sendiri. Sebagai contoh, pesakit sebelum ini adalah seorang yang pemalas. Tiba-tiba hari ini dia bertukar menjadi terlampau rajin sehingga perkara tersebut boleh memudaratkan dirinya. Dia kemas rumah, dia potong rumput, dia tukarkan lampu dan dia juga berani panjat bumbung tanpa menggunakan peralatan keselamatan semata-mata nak tengok bersihkan saluran air dibumbung.
Suka berbelanja tanpa melihat berapa banyak yang dibelanjakan
Perangai yang aggresif
Simptom Bipolar ketika fasa murung
Merasa sedih dan tiada harapan
Tidak mempunyai minat dalam perkara yang dia suka buat sebelum ini
Susah untuk tidur
Nampak tidak bertenaga
Merasa bersalah dan kurang keyakinan diri
Sentiasa berfikiran negatif
Merasa hidup tidak bermakna
Jika teruk, akan terbit idea untuk membuat perancangan membunuh diri pada individu tersebut
Seperti mana-mana penyakit mental yang lain. Dalam bipolar, ia mesti menyebabkan pekerjaannya, gaya hidupnya dan perkara-perkara penting dalam hidupnya terjejas
Punca Penyakit Bipolar
Penyebab kepada penyakit bipolar masih lagi tidak diketahui. Ia boleh disebabkan kepada masalah genetik dan persekitaran yang berinteraksi antara satu sama lain.
Kajian terkini menunjukkan masalah ini berlaku disebabkan beberapa bahagian otak tidak menghasilkan jumlah kompaun penting yang betul di dalam otak.
3 kompaun yang penting dalam otak adalah serotonin, dopamin dan noradrenalin.
Faktor genetik
Disebabkan masalah bipolar selalunya melibatkan ahli keluarga, maka genetik ataupun baka memainkan peranan penting dalam hal ini. Mereka yang ada keluarga yang mempunyai masalah ini akan berisiko mengalami masalah yang sama.
Jika seseorang ibubapa mempunyai masalah bipolar, anaknya mempunyai risiko 10-15% untuk mempunyai masalah yang sama
Faktor persekitaran
Terdapat beberapa faktor persekitaran yang boleh menyebabkan masalah bipolar ini bermula. Ianya adalah:
Satu kejadian teruk yang mungkin menyebabkan seseorang itu tertekan. Ketika ia cuba menjadi normal semula, mood seseorang itu menjadi berlebihan hingga menyebabkan ia mania.
Penggunaan alkohol, dadah ataupun masalah hormon boleh memulakan penyakit bipolar
Tiada orang yang menyokong individu tersebut daripada belakang
Selalunya berlaku ketika waktu muda
Penyiasatan
Untuk mengesahkan seseorang itu mengalami masalah Bipolar, seseorang itu perlulah berjumpa dengan doktor.
Prosedur yang betul adalah pesakit dibawa ke klinik kesihatan untuk diberi surat rujukan ke klinik pakar psikiatri di Hospital.
Jika keadaan pesakit terlalu teruk seperti mempunyai perangai yang agresif ataupun ingin membunuh diri, wajib untuk dibawa terus pesakit itu ke hospital. Tak perlu pergi ke klinik kesihatan.
Pakar psikiatri akan menjalankan sesi temuduga kepada pesakit dan juga ahli keluarga untuk menentukan sama ada pesakit mempunyai masalah tersebut ataupun tidak.
Tetapi ada beberapa penyiasatan yang perlu dibuat sebelum mengesahkan pesakit itu mempunyai masalah bipolar. Pengambilan darah untuk mengetahui bilangan darah, jumlah garam, bacaan hormon tiroid, ujian dadah dan beberapa jenis bacaan lain adalah penting. Ini kerana masalah daripada penyakit tersebut juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami simptom-simptom seperti mania ataupun kemurungan.
Jika penyakit tersebut menyebabkan simptom seperti mania ataupun kemurungan, maka rawatannya adalah dengan merawat penyakit tersebut. Sebagai contoh kekurangan hormon tiroid seperti dalam penyakit hipotiroid boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan murung.
Jadi rawatan untuk pesakit ini adalah dengan memberikan ubat hormon thyroid. Ia akan menyebabkan moodnya kembali pulih dan tidak murung.
Rawatan
Rawatan untuk masalah bipolar perlulah dirujuk kepada doktor. Pesakit tidak boleh mengambil ubat di farmasi tanpa melihat doktor terlebih dahulu.
Rawatan bagi pesakit bipolar bergantung kepada keadaan pesakit. Pesakit perlu dimasukkan ke dalam hospital jika mempunyai kriteria ini iaitu:
Membahayakan diri sendiri
Membahayakan orang lain
Mengalami halusinasi
Langsung tidak dapat melakukan aktiviti hariannya
Bersikap aggresif
Jika pesakit tidak terlalu terlalu teruk dan masih boleh dikawal lagi, terdapat beberapa rawatan yang selalunya diberikan kepada pesakit bipolar adalah:
Ubat Penstabil mood(mood stabilizer). Ubat yang sebelum ini selalu digunakan adalah Lithium
Atypical antipsychotics
Psikoterapi. Adalah aktiviti interaksi kepada pesakit untuk menyebabkan pesakit berubah dan juga mampu menyelesaikan masalah terutamanya masalah emosi dan perasaan
Ini adalah senarai ringkas rawatan yang diberikan. Tetapi daripada segi bidang psikiatri terdapat beberapa lagi rawatan yang boleh diberikan. Yang penting rawatannya perlulah dibawah pengawasan doktor pakar
Nak baca Kisah Hidup Pesakit Bipolar?
Kilik link di bawah :